website

Media: Berita Harian Singapura | Tarikh: 28 Mei 2026  | Oleh: Hanneeyzah Baharin
| Link: https://www.beritaharian.sg/malaysia/aidiladha-rezeki-mencurah-bagi-peniaga-pisau-pengasah-dan-tukang-masak-daging-korban

Di sebalik kesyahduan Aidiladha dan kemuliaan ibadah korban, pengusaha kecil dan peniaga, menanti penuh debar.

Musim perayaan ini menjanjikan lonjakan rezeki yang luar biasa, melangkaui hasil jualan harian mereka.

Setiap kali Aidiladha menjelang, permintaan melonjak mendadak bagi khidmat yang berkait rapat dengan ibadah korban, merangkumi pengasahan pisau, penjualan alatan sembelihan dan melapah, malah perkhidmatan memasak daging korban itu sendiri.

Khidmat Pelanggan Tauke Pisau by Gearevo di KL

Lonjakan permintaan ini turut dirasai oleh Pengurus Khidmat Pelanggan Tauke Pisau by Gearevo di Kuala Lumpur (KL), Encik Muhammad Haris Hasnuddin.

Beliau menyaksikan jualan pisau sembelihan, melapah, serta khidmat mengasah pisau melonjak berkali ganda menjelang Aidiladha.
 


Menurut Encik Muhammad Haris, pada hari biasa, jualan pisau sembelihan dan melapah bergerak perlahan, hanya mencatat purata satu pembelian seminggu.

Namun, permintaan melonjak begitu ketara, mencecah lebih 400 bilah pisau terjual sehari, beberapa bulan sebelum perayaan tiba.

“Ketika musim Raya Haji, jualan minimum harian bagi pisau sembelih dan melapah, berharga antara RM100 ($32) dengan RM400 di platform dalam talian, mampu mencecah 400 unit. Jumlah ini belum mengambil kira pelanggan yang datang terus ke kedai,” katanya

“Selain itu, perkhidmatan mengasah pisau menerima minimum 30 bilah pisau setiap hari,” ujar beliau ketika ditemui Berita Harian (BH) di Cheras, KL.
 


Lonjakan permintaan itu, ujar Encik Muhammad Haris, berpunca daripada strategi proaktif yang dimulakan seawal tiga bulan sebelum perayaan, termasuk memanfaatkan wadah digital.

Mereka mengutamakan jualan dalam talian, berbanding fizikal, malah sanggup bersiaran langsung di media sosial sehingga 16 jam sehari menjelang Aidiladha.

“Pelanggan di kedai fizikal hanya mula membanjiri premis kami apabila tarikh Raya Korban semakin hampir,” jelasnya.

Justeru, bagi menampung permintaan saat akhir, kedai beroperasi 24 jam sehari selama tiga hari sebelum Aidiladha.

Beliau turut mendedahkan, perniagaan mereka turut menjangkau pelanggan antarabangsa, termasuk dari Singapura dan beberapa negara Eropah.
 


Mengenai khidmat asah pisau, Encik Muhammad Haris menjelaskan pasukannya menggunakan tiga mesin khas berteknologi moden bagi menjamin proses yang sistematik dan teratur.

Tempoh mengasah setiap bilah hanya lima hingga 30 minit, bergantung pada keadaan mata pisau.
“Kerosakan teruk, seperti sumbing yang dalam atau bilah panjang, memerlukan pemulihan lebih rumit dan caj yang lebih tinggi,” katanya.

Caj perkhidmatan bermula daripada RM15 (sekitar $5) hingga RM70, mengikut saiz dan tahap kerosakan bilah.

Meskipun prosesnya pantas, pelanggan lazimnya perlu menunggu dua hingga tiga hari untuk mendapatkan kembali pisau mereka akibat jumlah tempahan yang melimpah menjelang Hari Raya Korban.

Beliau berkata, perniagaan itu diasaskan bapanya, Encik Hasnuddin Abu Samah, 51 tahun, sejak 2016 selepas menamatkan perniagaan fotografi yang diusahakan sebelum ini.

Menurutnya, perniagaan keluarga itu pada asalnya menggunakan nama Gearevo dan lebih tertumpu pada jualan pisau outdoor (seperti kegunaan kegiatan bagi mendaki dan kembara hutan), pisau lipat dan pisau ‘Rambo’ yang sering dijadikan koleksi oleh pengumpulnya, selain pisau melapah.

“Namun, apabila kami kaji semula, pelanggan untuk pisau outdoor dan pisau sembelihan serta melapah sebenarnya berbeza. Sebab itu kami wujudkan satu jenama khas iaitu Tauke Pisau yang fokus kepada pisau kegunaan sembelihan dan melapah haiwan,” katanya.

Pengurus Operasi Tauke Pisau by Gearevo, Encik Adam Ariff, 44 tahun, mendedahkan premis mereka gah sebagai hab pisau terlengkap di Malaysia, dengan bekalan yang diimport dari negara seperti Jerman.
 


Menjelang musim Aidiladha, syarikat itu melantik 40 pekerja sambilan tambahan bagi melancarkan operasi yang melonjak.

Kami tidak menang tangan,” ujar beliau, sambil menambah khidmat tambahan seperti pembuatan sarung dan ukiran nama pada pisau turut disediakan.

Khidmat ukir nama hanya dikenakan caj RM20, dan menjadi pilihan ramai bagi mengelak pisau mahal mereka hilang atau tertukar, katanya.

Beliau menambah, pisau sembelihan juga terbahagi kepada dua jenis, iaitu jenis sembelihan secara menarik pisau atau menolak pisau.

“Justeru penyembelih lembu korban perlu tahu teknik sembelihan yang mereka gunakan, supaya tidak tersilap membeli pisau yang boleh menganggu kelancaran kaedah sembelihan yang betul,” katanya.



Artikel penuh boleh dibaca di laman web Berita Harian Singapura

Special instructions for seller
Add A Coupon
Liquid error (snippets/cart-drawer line 228): product form must be given a product

What are you looking for?


Popular Searches: Butchers  Bullnose  Skinning  Boning  Vict  Herder